Dalam hidup
bermasyarakat, kita tidak boleh lari daripada pujian, kejian dan umpatan
terhadap setiap tindakan atau perbuatan yang dilakukan. Dengan kata lain, sikap
menjaga tepi kain orang lain memang berlaku. Untuk itu, penting bagi kita
mengetahui dan menetapkan bahawa setiap perbuatan itu mesti berlandaskan
syariat.
Ini supaya
hidup kita yang sementara di atas muka bumi sentiasa mencari reda Allah.
Membicarakan
tajuk ini, marilah kita mengikuti kisah Luqman al-Hakim iaitu seorang ahli
hikmah. Suatu hari, Luqman ingin pergi ke pasar dan telah dicatat segala
peralatan dan barang keperluan yang ingin dibeli. Dalam mendidik anaknya untuk
berhadapan dengan masyarakat dan pandangan manusia, Luqman turut membawa
anaknya dan keldai ke pasar tempat orang ramai.
Senario
pertama:
Ketika
mereka tiba di sebuah perkampungan dengan si anak menunggang keldai tersebut
dan Luqman menarik keldai dengan berjalan kaki. Orang ramai mula memerhatikan
mereka dengan perasaan ganjil dan pelik melihatkan dua beranak itu bersama
seekor keldai.
“Mengapa
kanak-kanak itu yang menunggang keldai dan membiarkan bapanya berjalan kaki?
Kenapa tidak ayahnya yang menunggang? Oh, sungguh biadab dan tercela anak itu,
orang tua dibiarkan berjalan kaki, dia pula bersenang lenang di atas keldai!
Ini menunjukkan sikap anak derhaka dan tidak pandai menghormati orang tua.
Tidak pernahkah dia sedar ayahnya yang selama ini memberikan makan dan minum
kepada dia?”
Senario
kedua:
Dalam
perjalanan, mereka sampai pula ke sebuah lagi perkampungan. Kali ini Luqman
pula menunggang keldai.
Ketika itu,
semua orang yang melihat kelibat dua beranak ini mula berbisik-bisik. Mereka
mula mencela dan berkata: “Mengapakah bapa yang menunggang, sedangkan si anak
dibiarkan berjalan kaki menarik keldai? Anak itu masih kecil lagi, tentu
kepenatan sepanjang perjalanan. Si bapa lebih besar daripada kanak-kanak itu
dan sepatutnya si anak yang menunggang keldai tersebut. Bapa yang tidak berhati
perut!”
Senario
ketiga:
Setelah
melepasi kampung kedua dan berfikir beberapa ketika, Luqman berkata kepada
anaknya, “Wahai anakku, kali ini kita menunggang keldai ini bersama-sama
sehingga tiba di pasar.”
Namun,
setibanya di sebuah kampung berhampiran dengan pasar berkenaan, tiba-tiba orang
ramai mula bersuara, “Lihat!, Seekor keldai membawa dua orang!, Alangkah
seksanya keldai itu membawa beban berganda!” Mereka berkata kepada Luqman dan
anaknya. “Tidakkah kamu berdua kasihan kepada keldai itu. Sudahlah berjalan pun
tidak larat, inikan pula ingin membawa kamu berdua!”
Senario
keempat:
Kali ini
Luqman dan anaknya hanya membiarkan keldai itu tanpa penunggang dan sebarang
beban. Namun apabila mereka melintasi kampung keempat, penduduk di situ
berkata: “Alangkah anehnya, keldai dibiarkan tidak ditunggangi, tuannya pula
berjalan kaki, ada kemudahan tidak digunakan, tidak pandai menggunakan nikmat
sedia ada!”
Kesimpulannya,
kalau nak ikut kata manusia, serba salah dibuatnya. Orang yang berakal tidaklah
dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah SWT sahaja. Sesiapa memahami
kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap sesuatu.
Berbalik
kepada isu hudud, hendaklah kita umat Islam menyokong pelaksanaan hukum itu dan
yakin dengan janji Allah sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Jika sekiranya
penduduk negeri-negeri itu beriman dan bertakwa pastilah Kami akan melimpahkan
kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. (al-A’raaf: 96)
Jangan kita
bimbang dengan penentangan manusia.
- See more
at:
http://www.utusan.com.my/rencana/hidup-biarlah-8232-cari-reda-allah-1.74045#sthash.nfD1CGVW.dpuf
Tidak ada komentar:
Posting Komentar