Senin, 16 Maret 2015

Kenapa Takut Menjadi Tua?

Sahabatku, Bertemu kembali kita di ruang maya. Indah berharap sahabat masih sudi untuk berbicara dengan Indah walau hadirnya Indah di maya ini seperti biskut CHIPMORE – now you see now you don’t -. Kesibukan sering menyita waktu Indahkasihku untuk berpesan dengan kebaikan di ruang berharga yang seumpama rumah kediaman bagi hati dan jiwa ini untuk bersatu dengan sahabat sekalian.
Indah ingin berbicara tentang  takut menjadi tua kerana beberapa hari yang lalu ketika bersembang dengan teman-teman wanita Indah, ramai yang bimbang menjadi tua kecuali Indah… hehehe.. ye ke ni… Dalam perbicaraan tersebut kesimpulan yang dapat Indah fikirkan bahawa  ada dua perkara yang manusia selalu berusaha untuk lari daripadanya iaitu TUA dan MATI.
Kenapa banyak manusia takut menempuh tua ? Bukankah kalau sudah tiba masanya akan tampak juga segala yang menjadi tanda. Kalau takut kelihatan tua, bermakna takut hilang kecantikan atau ketampanan diri. Hilang tenaga dan segala kekuatan juga tarikan. Baik lelaki mahupun perempuan perasaan itu tetap sama sahaja.

Selama manakah kita mampu menahan “kemudaan”  yang semakin dimamah oleh perjalanan masa ? Ada manusia yang tidak dapat menerima hakikat bahawa dirinya sudah menginjak tua.  Indah  pernah diluahkan oleh seorang teman wanita tentang kebimbangannya dengan usia 40 tahun yang bakal ditempuhnya dalam beberapa hari selepas itu. Dia mulai risau tentang kedut-kedut di wajahnya, lalu dia bercadang mahu membeli sejenis minuman susu + koligen (apa itu ya… kerana saya hanya minum susu Anlene sahaja untuk meningkatkan kadar kalsium pada tulang) yang dikatakan dapat melambat tisu-tisu penuaan.
Indah hanya tersenyum dan sesekali ketawa sambil menenangkan dia dengan memberi beberapa tips yang Tok Guru Indah pernah titipkan ketika berada di bangku pengajian dulu. Tips atau petua ini tidak perlu mengeluarkan wang walau satu sen pun agar kelihatan segar dan awet muda dari usia sebenar. Indah menyakini akan petua Tok Guru Indah ini kerana beliau adalah seorang tokoh agama yang masyhur di Kelantan.
Antara petua yang disajikan ke minda kami ketika sedang mendengar kuliah beliau untuk menjadi manusia yang segar, sihat dan awet muda adalah seperti berikut:
1. Amalan melakukan solat fardhu dan solat sunat secara istiqamah. Pelakuan mendirikan solat selain sebagai satu ibadah ia juga merupakan senaman yang baik untuk anggota tubuh badan juga memandu kita untuk mendisiplinkan diri ketika berada di luar solat (dalam kehidupan sebenar).


2. Amalan membaca niat dan basmallah pada setiap pekerjaan yang bakal dilakukan agar semua usaha kita diredhai Allah dan kita merasai mudah juga senang melaksanakan sesuatu tugas walau berat dan payah amanah yang dipikulkan.
3. Amalan membaca al-Quran dengan iltizam yang  tinggi setiap hari. Pastikan agar amalan itu dilakukan selepas setiap kali solat fardhu atau solat sunat. Semakin banyak kita membaca al-Quran semakin tenang dan bercahaya jiwa dan wajah kita oleh pancaran nur yang hebat dari ayat-ayat Allah yang banyak berupa ayat-ayat syifa.
4. Berfikiran positif kepada diri sendiri dan orang lain, jangan marah dan sentiasa senyum merupakan satu kehebatan diri bagi mereka yang berpemikiran gergasi dan punya sindrom orang besar atau berjaya. Orang yang berfikiran positif kurang menghadapi stress. Orang yang jarang marah dapat mengawal diri dari melakukan kesalahan dan orang yang sentiasa senyum akan selalu mudah menerima senyuman dari orang lain. Dia menggembirakan dirinya dan membahagiakan orang lain dengan keceriaan wajah yang indah walau dia tidak rupawan dan kacak menawan.
Sahabat sekalian, mudahan tips atau petua  yang Indah kongsikan dari Tok Guru Indah ini dapat dimanfaatkan bersama jika ingin menjadi  segar, muda dan bertenaga dalam menjalan saki baki kehidupan ini.
Usah takut menjadi tua kerana tua  adalah perjalanan masa yang pasti hadir. Sepatutnya kita berbangga dengan usia kita yang sedia ada kini kerana orang lain belum tentu akan sampai pada usia kita. Yang penting adalah bekalan dan persediaan yang bakal kita persiapkan untuk pertemuan dengan Rabbul Jalil di sana nanti.
Penulis : INDAHKASIHKU. 9 Mei 2010 (AHAD) – 1507 PETANG
(https://indahkasihku.wordpress.com)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar