Sabtu, 21 Februari 2015

Memenuhi masa muda untuk kebahagiaan hari tua



Allah SWt menganugerahkan pelbagai peluang secara percuma untuk hambaNya. Kita diminta agar merebut peluang-peluang tersebut serta memanfaatkan sepenuhnya. Jika seseorang itu cuai atau terlalai daripada merebutnya, pasti mereka akan menanggung kerugian kerana disebalik peluang percuma itu, akan muncul pula perkara negatif yang akan menimbulkan penyesalan

Sabda Rasulullah SAW "Rebutlah peluang 5 perkara sebelum datang 5 perkara iaitu masa muda sebelum hari tua, masa sihat sebelum sakit, masa kaya sebelum miskin, masa lapang sebelum sibuk dan masa hidup sebelum mati.

Justeru Rasulullah SAW menganjurkan agar kesempatan percuma itu tidak dibiarkan berlalu sia-sia. Masa muda jangan dibiarkan berlalu tanpa erti kerana ia penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Pergerakan jasmani yang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal, sementara mental muda yang segar memberikan ruang yang cukup untuk mencapai pelbagai ilmu pengetahuan dan pengalaman

Masa muda tidak akan bertahan kerana usia akan menjangkau dewasa dan akhirnya tibalah masa tua. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang lagi. Jika masa muda tidak dipergunakan menurut selayaknya, pastilah ia akan meninggalkan kesan pahit tatkala hari tua.
Masa muda yang diberikan secara percuma oleh Allah SWT itu akan ditanya semula pada hari perhitungan, kerana ia bukan sahaja anugerah tetapi juga amanah. Apakah usia muda itu dipergunakan samada untuk melakukan ketaatan atau sebaliknya

Segenap masa muda yang dipenuhi dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang Mukmin, samada dalam bidang ilmu dan amal, pasti akan menjadikan masa tua penuh dengan kesyukuran

Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh. Maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus"

- At-Tin : 4-6

(http://saupee94.blogspot.com)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar